SHAH ALAM - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli, didakwa gagal mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti kali ini, berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Maklumat tersebut dimaklumkan oleh seorang pegawai khas beliau, Syukri Razab sebentar tadi.
“Alhamdulillah. Kalah dah. Begitulah ceritanya,” katanya menerusi Facebook pada petang Jumaat.
Sebelum ini, Rafizi membuat kemunculan mengejut pada saat akhir dalam pemilihan PKR, di Johor Bahru, sekitar jam 4 petang, pada Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Ekonomi hadir bersama penyokongnya bagi menunaikan tanggungjawab sebagai ahli parti.
Terdahulu, Rafizi berdepan cabaran untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR apabila hampir semua negeri dan cabang parti menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah Anwar yang dilihat bakal mencabar kedudukan beliau.